Sabah Percepat Pendigitalan Pendidikan, Fokus Internet Sekolah dan Luar Bandar

sabahheadlines
1 Min Read

PUTRAJAYA, 12 Januari — Kerajaan Sabah mempergiat usaha memperkukuh pendigitalan pendidikan menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi, susulan kunjungan hormat Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di sini, hari ini.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan JENDELA Fasa 2 di Sabah dengan penekanan terhadap liputan internet berkualiti di kawasan luar bandar, pedalaman serta sekolah sebagai hab utama pendidikan digital.

Dalam pertemuan itu, kementeriannya turut mencadangkan peluasan penggunaan Dana Universal Service Provision (USP) bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran digital, termasuk penubuhan Digital Smart Lab di sekolah terpilih.

Kedua-dua pihak juga menyentuh isu keselamatan digital kanak-kanak dan remaja, termasuk cadangan mengurangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja bawah 16 tahun sebagai langkah pencegahan terhadap jenayah seksual dalam talian, khususnya kes pedofilia.

James berkata, kerjasama strategik itu diharap dapat mempercepatkan agenda pendigitalan pendidikan di Sabah sekali gus memastikan akses pembelajaran berkualiti dan selamat kepada semua pelajar.

TAMAT

Share This Article