Projek Naiktaraf Jalan Taginambur–Kamburaon Bernilai RM21.47 Juta-Ewon

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 12 Januari 2026 – Impian penduduk di beberapa kampung sekitar Kadamaian untuk menikmati kemudahan jalan berturap semakin hampir menjadi kenyataan apabila Projek Naiktaraf Jalan Taginambur–Kamburaon bernilai RM21.47 juta dimulakan secara rasmi hari ini.

Upacara pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

Projek ini melibatkan kerja pengaspalan jalan sejauh 2.55 kilometer serta pembinaan sebuah jambatan konkrit dua hala, dengan kos keseluruhan RM21.476 juta dan dijadualkan siap sepenuhnya pada November 2027.

Menurut Ewon, projek itu akan memberi manfaat kepada ribuan penduduk khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SMK Narinang dan SK Taginambur selain meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya serta menyokong aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan jalan berturap akan terus menjadi keutamaan di kawasan DUN Kadamaian kerana ia penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi rakyat.

Selain Projek Jalan Taginambur–Kamburaon, beberapa projek pengaspalan jalan lain turut dilaksanakan di Kadamaian termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus dan Jalan Podos serta pembinaan Jambatan Kaung dan Jambatan Malangkap.

Apabila siap kelak projek ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Barob, Kampung Potomodun, Kampung Tiong Kamburaon, Kampung Tiong Tiong dan Kampung Gontung.

TAMAT

Share This Article