LAHAD DATU, 12 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot lampu yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh dalam satu rondaan di perairan Tabawan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 4.15 petang pada kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika tenggara Pulau Katung oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua kru warga Filipina berusia 44 dan 49 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen operasi mendapati bot lampu itu melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lesen yang telah tamat tempoh,” katanya.
Dzulfikhar menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang gagal memperbaharui lesen serta beroperasi secara tidak sah, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Susulan penahanan itu, bot serta kru terbabit telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan
aktiviti mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
TAMAT
