LAHAD DATU, 7 JANUARI 2026 – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun serta 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak saudaranya, empat tahun lalu.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadap tertuduh berusia 41 tahun itu yang didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan, Suhailla berkata mahkamah setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi serta mempertimbangkan hujahan bertulis kedua-dua pihak mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan seterusnya mensabitkan tertuduh atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya yang berusia 15 tahun ketika kejadian iaitu seorang mangsa yang mempunyai hubungan kekeluargaan terlarang dan tidak dibenarkan berkahwin di bawah hukum agama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Lormalong, Kunak kira-kira jam 3 pagi pada Disember 2020.
Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 20 Ogos 2024, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan pula memanggil lima saksi.
Susulan keputusan mahkamah itu peguam bela Abdul Gani Zelika bersama Mohd Ridwan Usman yang mewakili tertuduh memohon supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai.
TAMAT
