BEAUFORT, 4 Jan 2026 – Seramai sembilan penduduk termasuk kanak-kanak berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir di Kampung Kangsa, di sini pagi tadi.
Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.30 pagi melalui talian balai sebelum sebuah jentera bersama tiga anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Jaidi bin Ag Damit, berkata jentera tiba di lokasi pada 11.25 pagi dan mendapati beberapa mangsa terperangkap di dalam rumah berikutan paras air yang meningkat.
“Pasukan operasi segera melaksanakan kerja-kerja pemindahan dan kesemua sembilan mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat,” katanya.
Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon menggunakan lori bomba bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Mangsa terlibat terdiri daripada dua ketua isi rumah, dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.35 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi mangsa yang perlu dipindahkan.
Pemantauan di kawasan terjejas akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Balai BBP Beaufort Ishak bin Jabas, memaklumkan pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi bantuan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
TAMAT
