LAHAD DATU, 3 Disember 2025: Sebuah bangunan sekolah swasta Community Learning Center (CLC) di Ladang Bagahak 1 di sini, musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang melalui talian balai sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurut Ketua Balai BBP Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 6.24 petang selepas menempuh jarak sejauh 56 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan sekolah CLC jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 40 x 45 kaki dan api telah memusnahkan bangunan tersebut sepenuhnya,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan salur bantu mula menggunakan sumber air dari tangki jentera, selain satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan daripada pam angkut yang mengambil sumber air terbuka dari perigi berhampiran.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 petang dan operasi ditamatkan empat minit kemudian setelah pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Seramai lapan anggota BBP Lahad Datu terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan satu jentera FRT, satu LFRT dan satu EMRS.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
TAMAT
