Dashboard Status Pelaksanaan MA63 Dilancar Hujung Januari, Tingkat Ketelusan Isu 40 Peratus Hasil Sabah

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,2 Januari,-Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang boleh diakses oleh orang ramai pada hujung Januari ini sebagai langkah meningkatkan ketelusan pelaksanaan MA63 khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata dashboard berkenaan dibangunkan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri dan akan dipaparkan menerusi portal rasmi agensi tersebut.

Menurutnya, setakat ini 29 perkara berkaitan MA63 telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Daripada jumlah itu 13 perkara telah berjaya diselesaikan dengan sembilan diselesaikan di bawah Kerajaan Madani manakala empat lagi diselesaikan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, baki 16 perkara masih dalam proses rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Sabah dan Sarawak dengan pemantauan rapi oleh BHESS.

Selain itu katanya, sesi libat urus turut diadakan bersama kementerian berkaitan, pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh serta mempercepatkan pelaksanaan perkara-perkara MA63 yang masih belum dimuktamadkan.

Mustapha menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memelihara hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

TAMAT

Share This Article