KOTA KINABALU: 1 Januari –
Sabah hari ini membuka lima pintu utama menarik pelancong berkunjung sempena pelaksanaan serentak sambutan tahun melawat Malaysia VM2026 di 55 pintu masuk utama melibatkan 13 negeri di seluruh negara.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Yang Berhormat Datuk Jafry Ariffin berkata antara yang terawal menerima ketibaa pelawat terawal bersempena pelancaran rasmi Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Majlis ini dilaksanakan melalui kerangka kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bersama Tourism Malaysia,
Pelaksanaan program ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan Sabah dari aspek tadbir urus destinasi, penyampaian pengalaman pelawat, serta kesinambungan pembangunan pelancongan yang berteraskan kekuatan tempatan dan keunikan negeri.
Jafry berkata lima (5) lokasi utama di Sabah terlibat dalam penganjuran sambutan VM2026, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Lahad Datu, serta Terminal Feri Tawau.
Menurut Jafry tahun melawat Malaysia 2026 bukan sekadar kempen promosi pelancongan, sebaliknya merupakan satu kerangka penyelarasan nasional bagi menilai tahap kesiapsiagaan negeri merangkumi aspek infrastruktur, hospitaliti, penglibatan komuniti, dan kelestarian alam sekitar.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan simbolik ini menjadi platform penting sebagai langkah persediaan awal ke arah penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027.
Ketibaan pelawat diraikan dengan persembahan kebudayaan Malaysia, penampilan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, serta pemberian cenderamata bertemakan Visit Malaysia 2026.
Dalam pada itu, Kalendar Visit Malaysia 2026 turut diperkenalkan, merangkumi lebih 300 acara dan program sepanjang tahun, termasuk perayaan utama negara serta keunikan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai.
Malaysia menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2026, selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui pelaksanaan Visit Malaysia 2026, sektor pelancongan dijangka terus merangsang ekonomi, membuka peluang pekerjaan, serta memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Oleh : jalie mohamad
VISIT MALAYSIA 2026 DILANCARKAN | MALAYSIA MENYAMBUT DUNIA
