BEAUFORT, 2 Januari – Sebanyak 13 kampung di daerah Beaufort terjejas banjir susulan kenaikan paras Sungai Padas melepasi tahap bahaya akibat hujan lebat berterusan sejak 1 Januari lalu di beberapa daerah di Zon Keningau dan Zon Beaufort.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, hujan lebat yang melanda daerah Tenom, Nabawan, Keningau, Sook, Beaufort dan Sipitang menyebabkan paras Sungai Padas meningkat sehingga 9.40 meter, jauh melepasi paras bahaya iaitu 8.70 meter.
Pemantauan yang dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Beaufort mendapati kampung yang terjejas ialah Kampung Batu 60, Kampung Binunuk, Kampung Balibata, Kampung Bakalau, Kampung Bingkul, Kampung Lubak, Kampung Gumarit, Kampung Lago, Kampung Suasa, Kampung Koundu, Kampung Kukup, Kampung Kangsa dan Kampung Bangkalalak.
Selain kediaman penduduk beberapa laluan utama turut dinaiki air dan mengalami sekatan trafik.
Antaranya Jalan Kampung Bakalau, Jalan Lago, Jalan Suasa, Jalan Koundu, Jalan Kukup, Jalan Kangsa dan Jalan Bangkalalak yang tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Sementara itu Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata dan Jalan Gumarit hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat manakala beberapa laluan lain masih boleh dilalui dengan berhati-hati.
Bacaan paras air Sungai Padas menunjukkan trend tidak menentu sepanjang hari dengan paras tertinggi direkodkan 9.43 meter pada jam 2 pagi sebelum sedikit menurun namun kekal pada paras bahaya sehingga tengah hari.
Dalam perkembangan berkaitan bacaan air pasang surut turut menunjukkan peningkatan daripada 0.6 meter pada jam 8 pagi kepada 1.8 meter pada jam 4 petang, yang berpotensi memburukkan lagi keadaan banjir.
Seramai empat anggota APM Beaufort digerakkan dalam operasi pemantauan menggunakan sebuah kenderaan Hilux Revo bagi memastikan keselamatan penduduk serta memantau situasi semasa di kawasan hotspot banjir.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.
TAMAT
