Paip Uzur Punca Gangguan Bekalan Air di Kota Kinabalu

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU –25 Dis Paip lama yang uzur dikenal pasti sebagai antara punca utama gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar ibu negeri terutama apabila tekanan air terpaksa ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pengguna.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, meskipun bekalan air mentah mencukupi peningkatan tekanan pam menyebabkan banyak paip lama tidak mampu menampung beban sekali gus mengakibatkan kebocoran dan paip pecah di beberapa lokasi.

Beliau berkata, tekanan air tidak boleh dinaikkan secara berlebihan kerana ia hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan sistem agihan air.

Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, Khamis.

Menurut beliau, antara kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah paip pecah ialah sepanjang jajaran dari Tuaran hingga ke Menggatal yang memberi kesan kepada pengagihan air ke rumah pengguna di sekitar Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, katanya, satu perancangan sedang dirangka bagi menggantikan paip-paip lama secara berperingkat bagi mengurangkan risiko kerosakan berulang dan memastikan sistem bekalan air lebih stabil dalam jangka panjang.

Selain itu kementeriannya turut mempertimbangkan penambahbaikan kemudahan tangki simpanan air bagi membolehkan bekalan diurus dengan lebih teratur tanpa bergantung sepenuhnya kepada aliran terus dari paip utama ke rumah pengguna.

TAMAT

Share This Article