SANDAKAN, 23 Disember- Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam lubang pembetung di Jalan Buli Sim Sim, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa dipercayai terperangkap seketika sebelum dibantu oleh orang awam untuk keluar dari kenderaan terbabit.
Beberapa mangsa, termasuk kanak-kanak, dilaporkan mengalami kecederaan akibat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George B. Abd Rakman, berkata kenderaan terbabit dipandu oleh seorang lelaki berusia 24 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang konkrit dan seterusnya terjatuh ke dalam lubang pembetung di tepi jalan.
Kes kini disiasat mengikut Peraturan 10, LN 166/59.
TAMAT
