KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara perpaduan rakyat serta mengekalkan kestabilan politik sebagai asas utama kepada kemajuan ekonomi dan pertumbuhan pelaburan di Sabah.
Beliau berkata, perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat dan kestabilan politik yang terpelihara merupakan elemen penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan dan mampan.
Perkara itu ditegaskan beliau menerusi Perutusan Krismas 2025, di samping menyeru semua pihak agar terus memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa seluruh rakyat untuk menghayati semangat Krismas yang berteraskan nilai kasih sayang, kemurahan hati, toleransi, saling menghormati serta perpaduan.
Menurutnya, sambutan Krismas bukan sahaja merupakan perayaan penting bagi penganut Kristian malah secara tradisi menjadi wadah yang menyatukan keluarga dan sahabat handai khususnya dalam konteks kepelbagaian agama, etnik dan warisan budaya di negeri ini.
Beliau berkata, perayaan tersebut turut memberi peluang berharga kepada seluruh rakyat untuk memperkukuh hubungan, memupuk keharmonian serta mempererat perpaduan antara kaum.
Mengakhiri perutusannya, Hajiji menzahirkan ucapan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian serta berharap perayaan itu membawa kegembiraan, kedamaian dan keharmonian kepada keluarga serta komuniti di seluruh Sabah.
TAMAT
