KOTA BELUD, 21 Disember 2025 — Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick menggesa Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang supaya memainkan peranan lebih aktif dalam sektor perindustrian dan keusahawanan di negeri ini khususnya di kawasan Kadamaian.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, penglibatan alumni sebagai rakan strategik amat penting dalam menyokong usaha kerajaan membangunkan ekonomi rakyat terutama di peringkat komuniti luar bandar.
“Saya berharap alumni SMK Narinang menjadi sebahagian daripada sektor perindustrian dan keusahawanan Sabah termasuk di Kadamaian sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035 yang diperkenalkan sebelum ini menjadi landasan utama pembangunan holistik kawasan itu selain pelaksanaan pendekatan baharu menerusi Dasar “Sabah First” di bawah MINDET.
Menurutnya, MINDET memberi tumpuan kepada usaha membantu lebih ramai rakyat Sabah menjana pendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan atau tenaga kerja dalam sektor keusahawanan dan perindustrian.
“Saya percaya alumni SMK Narinang mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ini,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang bagi membantu keperluan pentadbiran persatuan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun anjuran Sekolah Rendah Adventist (SRA) Rangalau, Kadamaian.
Beliau berkata, inisiatif akar umbi yang dilaksanakan oleh sekolah mubaligh itu bukan sahaja menggalakkan pembangunan sukan malah berjaya menarik penyertaan pasukan dari luar kawasan Kadamaian.
Sebagai sokongan beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada SRA Rangalau bagi melengkapkan keperluan peralatan sukan bola sepak selain mengumumkan pemberian geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah di kawasan DUN Kadamaian akan diteruskan.
Pada majlis berkenaan beliau turut menyampaikan hadiah tambahan kepada enam pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.
TAMAT
