PRR Kuala Penyu Antara Projek Utama Perumahan Rakyat Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU-17 Dis, Kerajaan Sabah merancang membangunkan beberapa Projek Program Residensi Rakyat (PRR) baharu bagi memenuhi keperluan perumahan mampu milik serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata antara projek utama ialah PRR Kuala Penyu yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan pembiayaan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) komited memperkasa agensi dan jabatan di bawahnya bagi memastikan pembangunan yang holistik, mampan dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, usaha pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperkukuh melalui tadbir urus telus dan berkesan termasuk sasaran semua PBT di Sabah mencapai sekurang-kurangnya tiga bintang dalam Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT).

Katanya, inisiatif lain merangkumi transformasi digital melalui sistem ePBT, penambahbaikan Sistem Maklumat Setinggan (eSP 2.0) serta penggunaan sistem eJKDB bagi memperkemas pengurusan komuniti bandar.

Selain itu KKTP turut memberi tumpuan kepada pembangunan landskap dan kelestarian alam sekitar termasuk projek Esplanade Tasik Sitompok Kuala Penyu, Landskap Perbandaran Putatan serta penganjuran Jelajah I-Hijau dan Sabah Landscape Architecture Awards 2026.

TAMAT

Share This Article