Warga Emas Hilang di Kampung Tambulion Laut, Kota Belud

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 16 Disember 2025 – Seorang warga emas dipercayai hilang di Kampung Tambulion Laut, Kota Belud sejak petang semalam, memaksa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan bomba bersama pelbagai agensi lain.

Mangsa, Minun binti Kasim, 83 tahun dilaporkan hilang kira-kira jam 5:30 petang pada 15 Disember 2025.

Pihak Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 07:30 pagi ini dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada 07:42 pagi.

Menurut Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu operasi SAR dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim (APM), RELA, serta penyertaan penduduk kampung.

Sementara itu Pasukan K9-2 turut terlibat dengan membawa seekor anjing pengesan bagi membantu pencarian di kawasan sungai berhampiran jambatan gantung kampung berkenaan.

Operasi SAR hari pertama dimulakan pada jam 11:05 pagi dengan pasukan polis dan APM membuat carian di tepi sungai.

Pasukan bomba memasang jaring di empangan sungai manakala unit K9 melakukan rondaan di tepi sungai.

Namun mangsa masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan dijadualkan disambung semula pada esok hari, 17 Disember 2025.

Jumlah anggota yang terlibat dalam operasi SAR ini adalah 11 anggota bomba dengan LORI-1 membawa 8 anggota dan VIGO-1 membawa 3 anggota. Turut hadir mengetuai operasi ialah Komander Operasi Kanan, PPgB Elge Bakuk, dan Ketua Zon 3, PgB Mohd Hafizrul bin Junaidi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau ingin membantu operasi pencarian boleh menghubungi Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk di talian 017-6015922.

Maklumat lanjut mengenai operasi pencarian akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Share This Article