DUA LELAKI DITAHAN SELUDUP BARANG KAWALAN DI PERAIRAN SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 13 Disember — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot bersama dua lelaki dipercayai menyeludup barang kawalan tanpa kebenaran di perairan Sandakan, kira-kira 0.8 batu nautika barat Tanjung Niug, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, kedua-dua suspek merupakan warganegara asing berusia 30 dan 34 tahun. Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 2,520 liter minyak petrol serta 510 kilogram minyak masak tanpa kebenaran yang sah.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM53,000.

Kesemua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

Oleh: Jalie Mohamad

Share This Article