VESSEL PUKAT TUNDA DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN DI PERAIRAN TABAWAN

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 7 Dis — Sebuah vesel pukat tunda yang dikesan beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata bot ronda Maritim Malaysia menahan vesel berkenaan pada jam 2.10 petang berhampiran 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik ketika melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati vesel itu dikendalikan tiga warga Indonesia berusia 30 hingga 46 tahun dan seorang kru tempatan berbangsa Bajau berusia 35 tahun yang semuanya memiliki dokumen sah.

“Turut ditemui ialah hasil tangkapan ikan dianggarkan 800 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mengesahkan vesel terbabit melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan iaitu kawasan larangan bagi operasi perikanan komersial.

Beliau menegaskan bahawa peraturan zon penangkapan ikan diwujudkan untuk mengelakkan eksploitasi sumber perikanan di kawasan pesisir serta memastikan aktiviti perikanan dilakukan secara bertanggungjawab.

“Maritim Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang berdegil melanggar syarat lesen,” katanya.

Vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut menggesa komuniti maritim menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.

TAMAT

Share This Article