KOTA KINABALU (1 DISEMBER): Pelantikan wakil rakyat Barisan Nasional dalam Kabinet Sabah mencetuskan rasa tidak puas hati.
Rasa tidak puas hati itu dikatakan datang daripada Datuk Isnin Haji Aliasnih (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Roslan Muharam (Lumasan), Datuk Rudy Ahwah (Pitas) dan Datuk Jasni Daya (Pantai Dalit) kesemuanya daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Turut tidak puas hati termasuklah lima calon bebas iaitu Datuk Fairuz Rendan (Pintasan), Datuk Rina Harun (Kukusan), Datuk Maijul Mahap (Bandau), Datuk Awang Ahmadshah Sahari (Petagas) dan Jordan Jude Ellron (Tulip).
Difahamkan kesemua mereka mengadakan pertemuan dan perbincangan di sebuah hotel di sini hari ini.
Rasa tidak puas hati itu timbul apabila wakil rakyat daripada BN berada dalam senarai Kabinet Sabah.
Calon BN Sukau, Datuk Jafry Arifin dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan turut mengangkat sumpah.
Selain itu tiga calon BN yang lain termasuklah Harun Durabi (Bengkoka), Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi (Liawan) dan Anil Sandhu (Kunak) pula dikatakan berada dalam senarai pembantu menteri.
Ikut rekod BN hanya memenangi enam kerusi Dewan Undangan (DU) Sabah. Dua yang lain termasuklah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (Lamag) dan Datuk Arthur Kurup (Sook).
Mengikut sumber, bantahan dan rasa tidak puas hati itu bukan disebabkan jawatan tetapi penyenaraian calon BN dalam Kabinet Sabah.
TAMAT
