Sokongan Pengundi Kudat Semakin Kukuh kepada Calon GRS

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 27 Nov Sokongan pengundi di Banggi dan Tanjung Kapor terus kukuh terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil dan berterusan di bawah gabungan tersebut.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyatakan penghargaan atas sambutan hangat rakyat Kudat terhadap dua calon GRS yang telah berkhidmat dengan rekod cemerlang sepanjang penggal lalu, iaitu Datuk Mohammad Mohamarin (N.1 Banggi) dan Datuk Ben Chong (N.4 Tanjung Kapor).

Beliau berkata, kewibawaan serta rekod kerja kuat kedua-dua calon berkenaan menjadi faktor utama keyakinan rakyat untuk terus memilih GRS sebagai kerajaan negeri yang stabil dan berwibawa.

Sementara itu, Datuk Mohammad bertekad memperkukuh pembangunan Pulau Banggi dengan memberi tumpuan kepada kebajikan penduduk setempat, pembangunan ekonomi dan akses perkhidmatan asas terutama bagi komuniti luar bandar di pulau itu.

Datuk Ben Chong pula komited memastikan kesinambungan pembangunan di Tanjung Kapor termasuk perluasan peluang pekerjaan, peningkatan prasarana serta penambahbaikan kemudahan pendidikan dan sosial.

Menurut masyarakat setempat, keserasian visi kedua-dua pemimpin itu mengukuhkan keyakinan mereka untuk terus menyokong GRS.

Antara fokus utama ialah membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkukuh pendidikan serta memastikan setiap keluarga merasai nikmat pembangunan secara adil.

GRS percaya bahawa apabila pemimpin dan rakyat berkongsi satu halatuju, kemajuan dapat dicapai dengan lebih cepat, lebih teratur dan lebih bermakna buat semua lapisan masyarakat.

Sokongan padu rakyat Banggi dan Tanjung Kapor dilihat sebagai petanda positif terhadap masa depan Kudat dan Sabah secara keseluruhannya.

TAMAT

Share This Article