sabahheadlines
2 Min Read

LANGGAR PERATURAN & TIADA DOKUMEN: SEMBILAN NELAYAN TEMPATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KOTA KINABALU, 19 Nov – Sembilan kru termasuk seorang tekong vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati melanggar peraturan pelabuhan.

Vesel itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata tangkapan dibuat sekitar jam 5 petang Isnin ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan rutin di perairan Kota Kinabalu.

Menurut beliau, sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan dikesan pada kedudukan kira-kira 2.7 batu nautika timur laut Pulau Gaya, sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan kru termasuk tekong berada di atas vesel tersebut.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 ,Juga Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda,” katanya.

Beliau berkata, semua kru turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan.

Vesel bersama kru kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan peralatan dianggarkan RM150,000.

Mohd Khairulanuar menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan Sabah sentiasa selamat serta bebas daripada sebarang kegiatan melanggar undang-undang.

Beliau turut mengingatkan pengusaha serta pengendali vesel supaya memastikan segala dokumen, laporan pertukaran nakhoda dan peraturan maritim dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan tegas.

Orang awam juga diseru menjadi ‘mata dan telinga’ agensi dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di 088-270165 atau talian kecemasan 999.

TAMAT

Share This Article