LAHAD DATU, 16 Nov — Politik Sabah kembali hangat apabila Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan pertembungan GRS, PH dan BN di Silam sebagai “petunjuk Tuhan”, sekali gus menafikan dakwaan gabungan lawan sebagai paling mantap.
Beliau menegaskan pentadbiran negeri tidak boleh digerakkan semata-mata oleh perebutan kuasa sebaliknya mesti berpaksikan agenda rakyat termasuk penyelesaian isu air, peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Bercakap kepada media selepas Ceramah Mega Warisan di sini pagi Ahad, Shafie berkata pertarungan sengit itu mencerminkan ketidaktentuan gabungan lawan.
“Sekarang ini kita pun tidak tahu mantap atau tidak. Dalam pilihan raya..ternyata ‘kemantapan’ itu bergantung kepada niat mahukan kerusi mahukan tempat, mahukan jawatan menteri. Bila tidak dapat, keluar. Ini yang kita bimbangkan,” tegasnya.
Shafie menekankan politik Sabah tidak boleh lagi digerakkan berdasarkan perebutan kuasa semata-mata sebaliknya fokus kepada kepentingan rakyat.
Menurut beliau, Warisan menawarkan hala tuju jelas dan kerajaan yang stabil dengan barisan calon profesional termasuk bekas duta, hakim majistret kelas pertama, jurutera, lebih 16 pemegang PhD serta kepimpinan muda berwibawa sebagai persediaan mentadbir negeri.
“Warisan telah membuktikan pentadbirannya. Rakyat perlukan kerajaan yang ada dasar jelas arah tuju jelas dan tidak berubah-ubah kerana perebutan kerusi,” tambahnya.
Beliau turut membangkitkan kelewatan pembentangan belanjawan negeri yang menurut beliau mencerminkan ketidaktentuan kerajaan sedia ada dan bimbang rundingan perebutan jawatan menteri dalam gabungan lawan akan menjejaskan pembentukan kerajaan baharu.
Ceramah Mega itu dihadiri lebih 2,000 orang termasuk calon-calon Warisan bagi kerusi DUN Segama, Mohammad Bin Abdul Karim; DUN Silam, Mohammad Yusof Bin Apdal; DUN Tungku, Assafal Alian dan DUN Kunak, Datuk Jasa Raudah.
Kehadiran ahli-ahli parti dari DUN Silam, Segama, Tungku dan Kunak menunjukkan sokongan meluas parti di kawasan berdekatan.
TAMAT
