KOTA KINABALU (12 NOVEMBER): Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal bertanding 55 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.
Bagaimanapun penyandang kerusi DUN Pintasan, Datuk Fauruz Rendan digugurkan daripada senarai calon GRS yang diumumkan oleh pengerusinya Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di sini hari ini.
Selain itu, Hajiji hanya mengumumkan 51 kerusi yang akan dipertandingkan oleh GRS manakala empat kerusi lagi dijangka diumum esok (13 November).
Fairuz yang merupakan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) digugurkan dan tempatnya diganti oleh Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Selain Pandikar, USNO juga akan bertanding di kerusi Sekong apabila Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana diumum sebagai calon.
GRS turut tidak menyenaraikan Datuk Shahelmy Yahya dan Datuk Andi Mohamed Surady.
Shahelmy dan Andi merupakan anggota Barisan Nasional (BN) yang menyokong GRS, turut tidak disenaraikan sebagai calon BN.
Kerusi Tanjung Keramat yang disandang oleh Shahelmy sebelum ini bakal ditandingi oleh adiknya, Shah Alfie Yahya.
Manakala kerusi Tanjung Batu yang disandang oleh Andi pula akan ditandingi oleh Dr Andi Md Shamsureezal.
Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda diumum sebagai calon untuk kerusi Bandau manakala Setiausaha PGRS, Datuk Mohd Razali Razi diumum sebagai calon Darau.
Empat DUN yang belum diumumkan oleh GRS termasuklah Tamparuli, Bingkor, Tulid dan Kukusan.
Sebelum ini Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan salah satu gabungan dalam GRS telah mengumumkan Dr Bonaventure Boniface sebagai calonnya untuk kerusi Tamparuli.
Parti itu juga menyenaraikan Datuk Peter Allion untuk kerusi Bingkor.
Sementara Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerjasama dengan GRS telah mengumumkan calonnya untuk kerusi Tulid iaitu Datin Rufinah Pengeran.
Bagaimanapun sama adaparti dalam GRS atau PH sendiri tidak mengumumkan calon untuk kerusi Kukusan.
Penyandang kerusi Kukusan adalah Datuk Rina Jainal.
Tamat
