LAHAD DATU, 11 Nov: Dua vesel pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu selepas disyaki melanggar syarat lesen ketika beroperasi di perairan Tabawan, Kunak semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata kedua-dua vesel itu ditahan sekitar jam 3.30 petang kira-kira 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan oleh anggota bot ronda yang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah vesel dikendalikan tiga warga tempatan berusia antara 21 hingga 33 tahun manakala sebuah lagi dikendalikan seorang warga Filipina berusia 52 tahun bersama dua warga tempatan berumur antara 24 hingga 44 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun pemeriksaan lanjut mendapati mereka menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat sekali gus melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
Dzulfikhar berkata, tindakan tegas diambil bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang serta menjaga ekosistem marin dan hak nelayan pesisir.
Kedua-dua vesel bersama kru ditunda ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan ke talian 016-930 5727 (WhatsApp) atau 999 bagi tindakan segera.
TAMAT
