KUDAT, 6 Nov – Sebuah kapal kargo yang dikendalikan kru warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan dua batu nautika timur laut Tanjung Tajau Laut, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata kapal tersebut dikesan oleh aset rondaan Maritim Malaysia hasil pemantauan rutin di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan 16 kru lelaki termasuk seorang kapten, semuanya warga Vietnam.
Kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada pihak berkuasa pelabuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana bersauh di perairan negeri tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Dua kru termasuk kapten dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan mendapatkan kebenaran sewajarnya sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Sabah.
TAMAT
