TAWAU, 2 November – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) 2025 yang diadakan di Kampung Merotai Besar, Tawau.
Program anjuran AKPS itu merupakan antara inisiatif berteraskan semangat Malaysia MADANI yang bertujuan memperkukuh nilai kebersamaan, tanggungjawab sosial serta meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Kampung Merotai Besar dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana kedudukannya yang strategik serta potensinya dalam pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat setempat.
Melalui projek ini, dua komponen utama diberi tumpuan iaitu Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 juta.
Antara projek pembangunan yang dilaksanakan termasuk pembinaan jalan dan gerbang masuk kampung, dataran konkrit, padang kampung, baik pulih tadika, pemasangan lampu solar dan awning masjid serta kerja baik pulih blok akademik di SMK Ladang Tiger, Tawau.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup serta kemudahan asas penduduk luar bandar malah memperkukuh semangat gotong-royong perpaduan dan tanggungjawab bersama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar terus dipelihara seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan rakyat.
TAMAT

