Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 1 November
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyatakan keyakinan bahawa rundingan di peringkat akhir antara parti-parti kerajaan perpaduan akan membawa hasil positif termasuk kemungkinan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama ditandingi oleh PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Alhamdulillah.. rundingan sangat positif insyaAllah segala kata putus memang akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Pengerusi Negeri saya ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya samada calon parti PH bertanding di DUN N. 61 Segama.
Terdahulu beliau menghadiri Program Jelajah Harapan Urang Sabah @ DUN Segama di Dewan Sabah Baru 2 di sini, petang Sabtu.
Menurutnya, keputusan itu akan mengambil kira pandangan semua pihak dalam semangat kerjasama antara parti-parti kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan politik di Sabah terus terpelihara.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata rundingan di peringkat akhir ini diharap membuahkan hasil positif sejajar dengan semangat persefahaman politik yang telah dipersetujui antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ini di saat akhir rundingan… jadi saya fikir insyaAllah.. dengan perkembangan rundingan yang ada ini.. kita doakan bersama supaya Segama akhirnya menjadi salah satu kerusi yang bakal ditandingi Pakatan Harapan, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), jelasnya.
Menurutnya tidak akan ada pertembungan antara BN atau GRS kerana itulah perkara paling asas dan harus dihormati oleh semua orang.
Beliau berkata, kerjasama erat antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan perlu dikekalkan bagi memastikan kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kukuh di Sabah.
Program Jelajah Harapan Urang Sabah itu turut dihadiri Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin serta kepimpinan akar umbi parti dari sekitar Segama dan Lahad Datu.
TAMAT

