RANAU, 21 Okt: Seorang lelaki cedera selepas lori enam tan yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian di hadapan Jabatan Penerangan Ranau, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.08 tengah hari itu, dua lagi lelaki yang berada dalam lori berkenaan turut cedera dan telah dibawa ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred, seramai tujuh anggota bersama dua jentera iaitu sebuah FRT dan sebuah EMRS dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.08 tengah hari.
“Setibanya pasukan di lokasi didapati sebuah lori enam tan telah terbabas dan melanggar sebatang pokok.
Seorang mangsa lelaki dewasa yang merupakan pemandu lori didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut.
Operasi diketuai oleh PBK I Mastin bin Suli dan tamat sepenuhnya pada jam 12.48 tengah hari.
Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa masih dalam siasatan.
TAMAT
