Program Pemerkasaan Komuniti Luar Bandar Kukuhkan Tadbir Urus Desa

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 12 Okt —Usaha memperkukuh tadbir urus dan semangat kepimpinan di peringkat akar umbi terus diperkasa melalui penganjuran Program Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar dan Taklimat Insentif Tadbir Urus JPKKP (Komuniti Desa Madani) bagi Parlimen P.188 Lahad Datu di Faridah Hanum Grand Hall, Sapagaya, hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah, Bahagian Komuniti Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan UMNO Bahagian Lahad Datu itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Giat MARA Lahad Datu merangkap Ketua UMNO Bahagian P.188 Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Kira-kira 100 peserta terdiri daripada pemimpin komuniti, wakil JPKKP dan agensi kerajaan hadir dalam program tersebut yang bertujuan memperkasa kepimpinan luar bandar melalui pendedahan ilmu tadbir urus berkesan.

Turut hadir Pengarah KEMAS Sabah, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi; Penolong Setiausaha Bahagian Komuniti Desa KKDW, Erick Gray Ramon Jos; Penolong Pengarah KEMAS Sabah, Ahmad Bashir Aliakbar; Pengerusi KEMAS Lahad Datu, Nor Azhar Othman dan Setiausaha UMNO Bahagian Lahad Datu, Mokhtar Lajasali.

Dalam ucapannya, Sharif Musa menegaskan bahawa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu berani melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rasa takut atau segan.

“Pelantikan JPKKP merupakan amanah daripada Perdana Menteri untuk memajukan kawasan luar bandar.

Jangan jadikan jawatan ini sekadar simbolik sebaliknya berani membuat keputusan dan menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar JPKKP tidak dipolitikkan sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pemasaran produk tempatan.

Sharif Musa juga menggesa setiap JPKKP menyediakan kertas kerja pembangunan kampung masing-masing bagi mendapatkan sokongan projek dan bantuan kerajaan.

“Kita mahu pemimpin komuniti yang aktif, bertanggungjawab dan berani. Jika ada yang gagal melaksanakan tugas, tindakan tegas termasuk pemecatan dalam tempoh 24 jam akan diambil,” tegasnya.

Sementara itu, Mokhtar Lajasali dalam ucapannya berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada pemimpin komuniti untuk memperkukuh ilmu pengurusan dan memahami peranan sebenar mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Program seperti ini menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan agar segala dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Program sehari itu dilihat sebagai langkah penting memperkukuh semangat Komuniti Desa Madani yang berdaya saing, berdisiplin dan komited terhadap pembangunan masyarakat luar bandar.

TAMAT

Share This Article