KOTA KINABALU, 12 Okt – Sembilan individu cedera selepas dua kenderaan bertembung di Kampung Tombongon, Jalan Kokol, Menggatal, tengah hari tadi.
Pertembungan itu melibatkan sebuah pacuan empat rida dengan sebuah kereta.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1.29 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi kejadian sejauh 21 kilometer.
Menurutnya, operasi diketuai oleh PBK II Yohanes Sipin bersama 11 anggota dengan bantuan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung.
Semua sembilan mangsa telah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba bersama KKM memberikan rawatan awal kepada semua mangsa sebelum empat daripadanya dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan ambulans untuk rawatan lanjut.
Dua mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Setelah memastikan tiada risiko lain di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 petang,” katanya lagi.
Kemalangan itu disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
TAMAT
