KOTA KINABALU, 8 Okt 2025 – Seorang pegawai tadbir Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas 30 pertuduhan menerima dan cuba memperoleh suapan serta salah guna kedudukan antara tahun 2022 hingga 2023.
Tertuduh, 49, yang bertugas di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Personel di PNS, didakwa melakukan kesalahan itu semasa menjawat jawatan sebagai ejen kepada jabatan berkenaan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim YA Tuan Jason Juga, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh PO Tuan Dzulkarnain Rousan bin Hasbi.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM2,000 serta seorang penjamin.
Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Daripada jumlah keseluruhan pertuduhan, 18 daripadanya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 12 lagi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima dan cuba memperoleh suapan berjumlah puluhan ribu ringgit daripada seorang kontraktor wanita, serta seorang lagi kontraktor, sebagai dorongan untuk memberikan pelbagai kerja pembekalan dan perkhidmatan kepada beberapa syarikat.
Kesemua wang suapan didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank dua anak tertuduh, pada April 2022 hingga Oktober 2023.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, hukuman maksimum ialah penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
TAMAT