Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU 30 Sept – Kontraktor yang dilantik bertanggungjawab penuh terhadap kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di Kinabatangan sepanjang pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata jajaran yang sedang dalam pembinaan melibatkan Fasa 1B dari Ranau hingga ke Sempurna–Tawau, iaitu membabitkan Pakej 16 hingga Pakej 35.
Menurutnya, jalan sedia ada mudah rosak terutama selepas hujan lebat dan kontraktor wajib melaksanakan kerja pembaikan segera mengikut klausa kontrak.
“Dalam kontrak sudah jelas terdapat tanggungjawab penyelenggaraan. Namun kadangkala kelemahan pemantauan menyebabkan tindakan penyelenggaraan agak perlahan.
Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah lebih tegas bukan sahaja memantau kemajuan kerja Pan Borneo, tetapi juga memastikan jalan yang rosak dibaiki segera bagi menjamin keselamatan pengguna.
Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata demikian kepada media selepas mewakili Ketua Menteri Sabah merasmikan Program Vaganza Etnik & Food Culture 2025 di sini, pagi tadi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan meninjau projek Pan Borneo di Kinabatangan dan mengumumkan peruntukan RM18 juta bagi kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan dari Batu 6 hingga Bulatan Sukau.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata kemajuan setiap pakej pembinaan lebuh raya itu berbeza bergantung kepada kontraktor yang terlibat.
Sehubungan itu beliau akan meninjau perkembangan terkini projek di jajaran antara Pakej 16 hingga Pakej 20 di Kunak.
TAMAT
