Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 27 Sept – Karnival Pendidikan, Kerjaya, STEM dan TVET Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di SMK Terusan di sini disifatkan sebagai medan penting melahirkan generasi muda holistik, berkemahiran dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal, berkata karnival tersebut bertepatan dengan aspirasi negara dalam memperkukuh penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bidang STEM dan TVET bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan asas bagi membentuk generasi masa depan yang mampu beradaptasi, memacu inovasi dan membawa Malaysia ke hadapan sebagai negara maju serta berdaya tahan,” katanya Ketika berucap merasmikan penutupan karnival berkenaan.
Menurut beliau, Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar memilih aliran sains namun sasaran itu masih belum dicapai sekaligus menjadikan penganjuran program seumpama ini penting dalam menyemai minat pelajar serta mengubah persepsi bahawa bidang STEM dan TVET adalah laluan utama masa depan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama rapat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat bagi membangunkan ekosistem inovasi yang inklusif serta mampan.
Selain itu Mohammad Yusof menyeru agar lebih banyak program jelajah STEM dan TVET dilaksanakan bagi membuka ruang pendedahan kepada pelajar sekali gus memperkukuh sokongan ibu bapa dan komuniti.
Dalam majlis sama, beliau turut menyumbangkan tiga buah kipas baharu bernilai RM70,000 kepada SMK Terusan sebagai usaha meningkatkan keselesaan pembelajaran pelajar.
Karnival tersebut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, pertandingan inovasi, perkongsian pengalaman serta sesi motivasi yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk membina masa depan lebih cerah dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
TAMAT
