LAPANGAN TERBANG TAWAU BAKAL LONJAK POTENSI HAB PELANCONGAN SABAH – ANTHONY LOKE

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 26 Sept – Lapangan Terbang Tawau (LTT) dijangka menjadi pemangkin utama sektor pelancongan Sabah apabila projek naik taraf bernilai RM120.9 juta siap sepenuhnya pada 2028.

Ia sekali gus membolehkan lebih banyak penerbangan antarabangsa memasuki negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun LTT belum berstatus antarabangsa sepenuhnya, ia tetap mampu menerima penerbangan antarabangsa termasuk penerbangan charter.

“Antara komponen naik taraf termasuk mengasingkan penumpang antarabangsa dan domestik, menambah kemudahan imigresen serta CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin), selain fungsi kawalan akan diserapkan ke dalam Agensi Kawalan Sempadan (AKPS) bermula 1 Oktober ini.

“Dengan kemudahan lebih besar nanti, kita boleh berbincang dengan syarikat penerbangan untuk mewujudkan penerbangan antarabangsa berjadual setiap hari, bukan lagi charter semata-mata,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Tawau, di sini, hari ini.

Menurut Loke, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut giat menarik pelancong luar melalui pakej khas serta penerbangan charter, sekali gus membuktikan Tawau berpotensi tinggi menerima lebih banyak penerbangan antarabangsa.

“Buat masa ini, permintaan sememangnya ada, cuma kapasiti lapangan terbang tidak mampu menampung jumlah pelancong. Apabila projek ini siap, kita yakin ia dapat memenuhi potensi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, projek naik taraf ini dilaksanakan melalui kaedah ‘design and build’, dengan kontraktor bertanggungjawab mereka bentuk serta membina terminal baharu yang mencerminkan keunikan Sabah.

Untuk rekod, projek itu melibatkan pembesaran terminal utama dengan penambahan dan pengubahsuaian ruang lantai, penambahan jambatan udara, naik taraf apron pesawat, sistem penghawa dingin, kawalan keselamatan, lif, eskalator, sistem maklumat penerbangan serta pelbagai kemudahan moden lain.

Apabila siap kelak, LTT mampu menampung sehingga 2.5 juta penumpang setahun.

TAMAT

Share This Article