LAHAD DATU, 24 Sept 2025 – Seramai 259 keluarga mangsa banjir di Lahad Datu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).
Setiap keluarga menerima RM1,000 dan penyerahannya di Dewan Serbaguna Kolej Vokasional Segama, di sini, hari ini.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Lahad Datu itu disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Sabah, Haryani Anah Abdul Kahar mewakili Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan Sabah Datuk Ag Shaminan.
Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.61 Segama merangkap Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.60 Tungku, Haji Momen Anchai; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.62 Silam, Harun Batarasa serta Pegawai Kebajikan Daerah Lahad Datu, Shairol Sari.
Dalam ucapannya, Firuz berkata pelaksanaan program itu berdepan cabaran termasuk kelewatan pengagihan kerana dokumen penerima belum lengkap sebelum Aidilfitri lalu.
Namun katanya, pihak berkuasa tetap berusaha menyelesaikan isu berkenaan demi memastikan semua mangsa menerima hak mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kolej Vokasional Lahad Datu kerana membenarkan fasiliti mereka digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika banjir besar melanda daerah ini pada 29 Januari hingga 2 Februari lalu.
“Dewan ini akan terus digunakan sekiranya berlaku banjir pada masa akan datang. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul namun yakin sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban masyarakat terjejas,” katanya.
Banjir pada awal tahun itu menyebabkan lebih 300 mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu SMK Terusan, Kolej Vokasional Pertanian Lahad Datu dan Kolej Vokasional Lahad Datu.
Kerajaan negeri, tambahnya, sentiasa komited membantu mangsa bencana di daerah ini.
Sementara itu pemberian BWI diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima untuk kelangsungan hidup mereka.
TAMAT
