Oleh: Syarmillah Salleh
Kota Kinabalu, 15 September 2025 – Penduduk Kampung Unggun Jaya, Sepanggar digemparkan dengan kejadian tanah runtuh awal pagi ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan beberapa penduduk yang berdekatan telah diarahkan berpindah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 6:18 PAGI memaklumkan kejadian berkenaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Asama Bin Saruddin, telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.
Jarak lokasi kejadian dari balai adalah sejauh 23 kilometer (KPI-3), dan jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6:19 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya tanah runtuh yang turut menyebabkan pokok tumbang menghalang laluan trafik utama di kampung tersebut.
Pasukan operasi turut menggunakan peralatan khas seperti gergaji berantai bagi memotong dan membersihkan pokok tumbang yang menghalang jalan.
Operasi dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 7:24 pagi selepas pasukan memastikan kawasan berkenaan bebas daripada sebarang risiko atau bahaya susulan.
TAMAT
