DERMA DARAH & DISKAUN SAMAN TRAFIK 50% MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 30 Ogos – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Lahad Datu menganjurkan Program Derma Darah sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, Hari Sabah dan Hari Malaysia bertempat di Dewan Sri Mawar, IPD Lahad Datu baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail.

Program itu bertujuan membantu menampung keperluan bekalan darah di hospital selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan menderma darah sebagai tanggungjawab sosial untuk menyelamatkan nyawa.

Program berkenaan mendapat penyertaan daripada warga IPD Lahad Datu, Polis Bantuan serta orang awam yang hadir sebagai penderma darah.

Seiring dengan itu, PDRM Lahad Datu turut menawarkan pengurangan saman trafik sebanyak 50 peratus bagi memberi peluang kepada masyarakat menyelesaikan tunggakan dengan kadar lebih rendah di samping menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya.

Menurut Dzulbaharin, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen pasukan polis dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Jimmy Panyau; Ketua Unit Perubatan Tabung Darah Hospital Lahad Datu, Dr. Thiagu Palan; Ketua-ketua Bahagian dan Ketua Polis Balai.

Program berkenaan berjalan dengan lancar serta menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

TAMAT

Share This Article