MALAM SOLIDARITI & MUNAJAT #JUSTICEFORZARA DIHADIRI LEBIH 10,000 ORANG

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 29 Ogos – Lebih 10,000 orang membanjiri Padang Bandaran Jalan Tapika di sini malam tadi bagi menyertai Malam Solidariti dan Munajat Justice For Zara.

Program dianjurkan oleh Pengerusi Masjid Awal Tuan Guru Haji Muda, Haji Abdul Halim Gulam Hassan dengan kerjasama Mahkamah Anak Negeri Lahad Datu.

Program bermula jam 5 petang hingga 10.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, tahlil, solat Isyak serta solat sunat hadiah untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Antara yang hadir termasuk Ketua Bahagian PGRS Tungku, Datuk Haji Abdul Hakim Ghulam Hassan; Ketua Bahagian Bersatu Lahad Datu, Ali Akhbar Khan Gulam Hassan; Ketua Pemuda PGRS Silam, Hany Syuqrieyan Yussof; Ketua Daerah Lahad Datu, Mohd Tahil Ali Napiah; Imam Masjid Tuan Guru Haji Muda, Mohammad Nizam Muhammad serta beberapa pemimpin masyarakat.

Abdul Halim menegaskan perhimpunan itu adalah bukti kebangkitan masyarakat menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina, 13, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu dipercayai akibat kejadian buli.

“Malam ini kita berkumpul dalam semangat solidariti menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Perjuangan ini bukan agenda politik, tetapi komitmen bersama memastikan sistem keadilan berjalan telus,” katanya.

Sepanjang program, pelbagai plakad dan kain rentang dipamerkan dengan mesej seperti “Justice For Zara”, “Keadilan Milik Yang Benar”, “Walaupun Kita Tidak Sedarah, Kita Semua Bersaudara” dan “No Justice, No Merdeka”. Beberapa kenderaan turut dilihat berpelekat slogan sokongan seperti “Bye Mak, Bye Raa” yang merujuk kata-kata terakhir Allahyarhamah.

Untuk rekod, ini adalah kali kelima perhimpunan solidariti Justice For Zara diadakan di Lahad Datu, namun berbeza dengan sebelumnya kerana lebih menekankan pendekatan kerohanian melalui doa dan munajat.

TAMAT

Share This Article