KEBAKARAN MUSNAHKAN TIGA RUMAH DI KOTA KLIAS

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

BEAUFORT, 25 Ogos – Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kota Klias di sini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kebakaran pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dengan kekuatan 11 anggota, dibantu lapan anggota dari BBP Beaufort.

Komander Operasi, PBK I Hamdy Bin Aminuddin berkata, kebakaran melibatkan tiga buah rumah iaitu dua rumah separuh kekal berkeluasan 40×40 kaki yang masing-masing terbakar 90 peratus, manakala sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 30×25 kaki musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dengan empat pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran. Api berjaya dikawal pada jam 9.19 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi tersebut melibatkan kekuatan 19 anggota dengan sokongan aset dua jentera FRT, satu EMRS, satu water tanker dan sebuah pacuan empat roda (Vigo).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

TAMAT

Share This Article