sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 24 Ogos – Polis Daerah Lahad Datu hari ini mengesahkan penemuan satu objek disyaki bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb di tebing Sungai Segama, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Haji Ismail berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati objek berbahaya itu berukuran kira-kira 40 sentimeter lilit, panjang 30 sentimeter dan dianggarkan seberat 500 lbs.
“Siasatan lanjut oleh Cawangan Persenjataan IPD Lahad Datu mendapati bom berkenaan dipercayai buatan British dan merupakan peninggalan Perang Dunia Kedua.
“Objek itu ditemui seorang penduduk tempatan berusia 52 tahun ketika menjala ikan sebelum memaklumkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kawasan berkenaan kini dikawal dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri lokasi tersebut sementara menunggu tindakan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk melaksanakan pemusnahan.
TAMAT
