Zairani Awang
KUDAT, 23 Ogos – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Pitas wajar dipertahankan Barisan Nasional (BN) demi kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Puteri UMNO Kudat, Zairani Awang, berkata sepanjang pentadbiran BN, Pitas telah menikmati pelbagai pembangunan yang memberi impak besar kepada penduduk.
“Antara pencapaian penting termasuk pembinaan dan penaiktarafan hospital serta pusat kesihatan, pembinaan Klinik 1Malaysia, penambahan sekolah, pembangunan jalan utama, penyediaan rumah mampu milik (PPR), serta mercu tanda seperti Dataran Bengkoka,” katanya.
Beliau berkata BN juga menyediakan kemudahan asas lain termasuk bekalan elektrik ke kawasan pedalaman, pembinaan balai bomba serta kemudahan riadah seperti padang daerah bagi manfaat golongan belia.
Menurutnya, semua inisiatif itu membuktikan keikhlasan BN membangunkan Pitas, bukan sekadar menabur janji pilihan raya.
“Perubahan ketara yang dirasai rakyat sewaktu pentadbiran BN seharusnya menjadi asas kukuh untuk mempertahankan kerusi ini.
“Sebagai anak muda, kita menghargai usaha yang membawa perubahan daripada ketinggalan kepada kemajuan, daripada kekurangan kepada pembangunan,” katanya.
Zairani turut melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan ketika ini yang gagal menonjolkan perubahan ketara khususnya dalam menambah baik keperluan rakyat di kawasan pedalaman.
Jelas beliau, Puteri UMNO Kudat akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti serta seluruh jentera bagi memastikan mandat rakyat kekal bersama BN.
“Bersama BN, kita terus membangun demi rakyat, demi masa depan anak muda,” tegasnya.
TAMAT
