DUA LELAKI DIPENJARA 14 BULAN, DENDA RM5,000 KERANA CURI MOTOSIKAL

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 11 Ogos – Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal di kawasan perumahan pekerja ladang bulan lalu.

Majistret Tuan Nur Asyraf Bin Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sharifuddin Bin Sabang dan Azni Bin Roger, masing-masing berdepan penjara enam bulan tambahan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencuri motosikal milik seorang lelaki di tempat letak kenderaan Perumahan Pekerja Ladang Seberang, Jalan Silabukan, pada kira-kira jam 6 pagi, 23 Julai lalu.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh bertindak bersama-sama mencuri motosikal berkenaan sebelum bersepakat untuk menjualnya. Rakaman CCTV turut merakam kejadian itu.

Kedua-dua mereka ditahan pada 3 Ogos lalu oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di tepi jalan di Bandar Lahad Datu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Sitti Zubaeda Binti Hj M Kasim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

TAMAT