sh@ editor
KENINGAU; 30 JULAI 2025 – Sebuah bengkel dua tingkat separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Mottou, belakang Kolej Geomatika di sini, petang tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.42 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.45 petang dan mendapati api sedang marak membakar keseluruhan bangunan bengkel berkeluasan 40×60 kaki persegi.
Operasi pemadaman yang diketuai PBK II Mohd Ali Shahiranizam Abd Rahman selaku Komander Operasi, dibantu oleh Komander Operasi Kanan, PKPgB Severinus@Mohd Nidzam Bin Sainkui berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 3.38 petang.
Seramai 17 anggota bomba terlibat dalam operasi ini, dengan bantuan beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, EMRS dan tangki air. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba, pili bomba berhampiran serta parit di sekitar lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
TAMAT
