Hajah Balkis Haji Kalinggalan
sh@ Syamilah Salleh
LAHAD DATU: 11 Julai – Exco Srikandi Bersatu Malaysia, Hajah Balkis Haji Kalinggalan menyatakan komitmennya untuk terus menjadi pemimpin berjiwa rakyat yang dekat dengan denyut nadi masyarakat Lahad Datu.
Beliau yang juga Bendahari Srikandi Sabah dan Ketua Srikandi Bahagian Lahad Datu, bertekad memperjuangkan pembangunan mampan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam aspek ekonomi, wanita dan belia.
“Saya mahu Lahad Datu dikenali sebagai daerah maju dan rakyatnya berdaya saing. Fokus utama saya ialah membantu rakyat menjana pendapatan terutama golongan muda yang terkesan dengan pengangguran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta galakan keusahawanan perlu diperluaskan bagi menggerakkan generasi muda menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah.
Hajah Balkis turut menekankan pentingnya peranan wanita diperkasa dan kebajikan keluarga diberi perhatian berterusan.
“Dengan sokongan seluruh warga Lahad Datu dan izin Allah SWT, kita mampu membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang,” ujarnya lagi sambil menyeru rakyat agar memberi peluang kepada pemimpin baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Hajah Balkis dilihat sebagai antara calon muka baharu yang berpotensi mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRN kali ini.
TAMAT
