GAGASAN RAKYAT YAKIN MAMPU CABAR WARISAN

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ syamilah salleh

SEMPORNA (22 JUN): Parti Gagasan Rakyat Sabah yakin mampu mencabar penguasaan Warisan pada Pilihan Raya negeri Ke-17 nanti.

Keyakinan itu berasaskan kepada sokongan yang diberikan terutama dari kalangan generasi muda, kata Ketua Bahagian Sulabayan Datuk Abd Hajan Gurimbang di sini hari ini.

Abd Hajan berkata trend perubahan sokongan itu didorong oleh pelbagai pendekatan akar umbi yang dilaksanakan PGRS, khususnya dalam sektor pendidikan, budaya dan sukan.

“Pemuda PGRS Sulabayan di Semporna dilihat berjaya mendekati golongan pemuda, melalui gerak kerja yang diperkenalkan, iaitu melalui sektor pendidikan, budaya, sukan. inilah harapan kita, pemuda menjadi pemimpin seperti mana apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PGRS, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah menyatakan bahawa keinginan rakyat untuk perubahan semakin jelas, termasuk dalam kalangan keluarga terdekat kepada pemimpin Warisan sendiri.

“Kalau tidak ada halangan, saudara Rashdey akan diletak untuk calon ADUN bagi Senallang, ini adalah antara keluarga dalam tokoh pemimpin Warisan yang ada di Semporna, iaitu Shafie Apdal. Kita faham bahawa anak-anak muda serta keluarga mereka inginkan satu perubahan dalam kepimpinan Warisan. Saya yakin bahawa dalam politik, apa pun boleh berlaku,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui ketika menghadiri Persidangan Pemuda PGRS Sulabayan dan Persidangan Bahagian PGRS Senallang yang berlangsung pagi Sabtu di Semporna.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua PGRS Senallang, Mohd Rashdey Datuk Sabardin serta Ketua Pemuda PGRS Sulabayan, Akram Abd Rauf.

TAMAT

Share This Article