KEMUKA USUL GERAK SOLO: MOHD JALI

sabahheadlines
2 Min Read

SH EDITOR

BEAUFORT (14 JUN?): Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) disaran agar membuat usul bergerak solo pada pilihan raya negeri akan datang.

Saranan itu diluahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Klias, Haji Mohd Jali Nordin kepada bahagian yang sedang dan akan mengadakan mesyuarat agung.

“Kita buat usul gerak solo pada PRN akan datang dan usul gerak solo adalah yang dimahukan serta diharapkan oleh akar umbi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata jika Gagasan Rakyat Sabah (GRS) benar-benar mengutamakan harapan rakyat sudah tentu akan nemilih untuk bergerak solo.

Usul gerak solo, katanya adalah selari dengan kehendak rakyat sendiri.

Katanya rakyat sejak dahulu lagi mahu GRS untuk memilih bergerak secara solo.

” Ia adalah kehendak rakyat sendiri dan kita berharap barisan kepimpinan mengambilkira dan mengutamakan perkara ini,” katanya.

Menurutnya bukan hanya parti tetapi rakyat sendiri sukar menerima sekiranya GRS mengambil keputusan untuk bergabung dengan parti yang sering melontarkan tohmahan dan penghinaan.

Katanya tohmahan dan penghinaan itu bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada presiden parti.

Malah, katanya, parti yang melontarkan tohmahan dan penghinaan itu sampai sekarang berlagak sombong dan cuba pula membuat syarat.

“Pemimpin mereka melihat GRS sebagai parti kecil dan enggan untuk mengakui kepimpinan GRS …jika begini buat apa kita mahu bekerjasama dengan parti itu.

” Mereka seolah-olah mahu menyatakan bahawa GRS harus melutut kepada mereka sedangkan sehingga kini GRS belum menyatakan persetujuan untuk bekerjasama,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu Mohd Jali berharap bahagian Gagasan yang akan mengadakan mesyuaratnya tidak akan teragak-agak untuk membuat usul gerak solo.

“Kita buktikan dan perlihatkan bahawa Gagasan adalah parti yang berpendirian dan bukan mudah untuk dipergunakan,” katanya lagi.

Share This Article