DUA LAGI DITAHAN SPRM BERKAITAN KES PINJAMAN KEWANGAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN (23 MEI): Dua lagi bekas pekerja di institusi kewangan di sini ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan kes pinjaman pembiayaan kewangan berjumlah kira-kira RM11.3juta.

Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan tahanan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan ketika datang ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan petang kelmarin.

Penahanan itu menjadikan tujuh orang setakat ini yang ditahan oleh SPRM berkaitan menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman menggunakan disyaki dokumen palsu.

Kelmarin SPRM telah menahan lima individu termasuk bekas pegawai dari institusi kewangan kerana disyaki menerima suapan lebih kurang RM300k daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan disyaki palsu.

Kesemua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 – 40an itu telah ditahan sekitar jam 2.00 hingga 7.00 petang kelmarin di Pejabat SPRM Sandakan.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah tersebut sejak tahun 2022 hingga 2024, melibatkan kelulusan pinjaman bernilai keseluruhan RM11.3 juta kepada 39 pemohon.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut. Beliau memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.

Tambah beliau lagi, penahanan ini adalah hasil kerjasama antara pihak SPRM Sabah dengan Unit Audit Dalaman salah sebuah Institusi kewangan tempatan.

Tamat

Share This Article