James bersama Walter menumbuk padi sebagai tanda pelancaran Pesta Kaamatan Daerah Sandakan sambil disaksikan oleh wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat.
OLEH: ALEEYA VILLIAMON
SANDAKAN: Anggapan orang luar bahawa sambutan Pesta Kaamatan sebagai pesta mabuk perlu dihapuskan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata persepsi itu adalah salah dan tidak tepat.
“Orang luar ini tidak memahami dan tidak tahu bahawa Pesta Kaamatan itu adalah perayaan kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kaamatan daerah Sandakan di sini hari ini.
Beliau berkata sambutan perayaan itu adalah untuk memperingati nenek moyang “dan ia adalah adat tradisi yang tidak hilang ditelan zaman.”
Menurutnya perayaan itu disambut bermula 1 hingga 31 Mei pada setiap tahun.
“Ia adalah perayaan suku kaum negeri ini…perayaan kebudayaan dan persepsi salah itu harus dihapuskan,” katanya lagi sambil berkata beliau tidak bersetuju dengan tangapan demikian
Sementara itu James berharap usaha untuk memajukan Sandakan dilakukan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
James yang merupakan Menteri penuh di bahagian pantai timur Sabah, yakin dengan komitmen wakil rakyat Sandakan dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan akan dapat mengubah lanskap bandar menjadi bandar maju.
Tamat
