OLEH: JALIE MOHAMAD
SANDAKAN : 15 Mei -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah berjaya mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina ke Malaysia dalam dua operasi berasingan yang dijalankan berhampiran Pulau Berhala pada kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Muhamad Suhairy Hussain berkata operasi pertama sekitar jam 11.49 pagi telah mengesan sebuah vesel kargo mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari timur laut Pulau Berhala.
“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut membawa 14 individu terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita, berumur antara lapan hingga 70 tahun. Majoriti mereka bukan warganegara dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Salah seorang individu turut cuba menyogok pegawai penguat kuasa namun cubaan itu berjaya digagalkan. Kesemua mereka telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada operasi kedua yang dijalankan jam 12.00 tengah hari di lokasi 4.3 batu nautika dari tempat yang sama, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran atau dikenali sebagai ‘bot hantu’ telah berjaya dipintas.
Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki dokumen MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
Katanya pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa 12 tong jerrycan dan 700 liter petrol di dalam tangki utama, menjadikan jumlah keseluruhan bahan api yang dibawa mencecah 1,000 liter.
Bot itu turut dilengkapi dengan tiga enjin luar berkuasa tinggi masing-masing 250 kuasa kuda dan dipercayai digunakan untuk aktiviti rentas sempadan secara senyap.
Menurutnya bot tersebut merupakan satu “perangkap maut terapung” kerana membawa bahan mudah terbakar tanpa sebarang ciri keselamatan.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa bahan api tanpa permit sah.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan maritim negara dan menyeru orang awam supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504.
Tamat
