PGRS SUKAU SOKONG GRS TANDING SOLO

sabahheadlines
2 Min Read

JALIE MOHAMAD

KINABATANGAN (11 Mei): Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sukau menyambut baik kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor, mengenai kesediaan GRS bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan datang.

Ketua bahagiannya Datuk Juhari Janan, berkata keputusan tersebut merupakan langkah tepat dan strategik untuk membentuk semula kerajaan negeri yang lebih stabil dan makmur, dipimpin sepenuhnya oleh parti tempatan.

“Kita menyokong kenyataan Ketua Menteri. Inilah masanya GRS membentuk semula kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah, dan biarlah negeri ini dipimpin oleh orang tempatan sendiri.

“Saya yakin dan percaya, GRS mampu memenangi banyak kerusi dengan kekuatan yang ada serta kerjasama parti-parti tempatan yang sehaluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok PGRS Sukau melibatkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis di Dewan Solar, SK Tanjung Aru, pada Sabtu.

Mengenai soalan lain, Juhari berkata GRS adalah gabungan yang berprinsip serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Juhari turut memaklumkan bahawa jentera PGRS Sukau sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN.

“Kami sudah lama bersedia, hanya menunggu arahan pimpinan. jawatankuasa telah dibentuk dan semua kawasan dalam DUN Sukau termasuk Sri Ganda, Batu Putih, Paris dan Tanjung Aru telah kami lawati.

“Kami bertemu rakyat secara bersemuka dan dengar sendiri permasalahan mereka,” tambah beliau.

Mesyuarat berkelompok itu turut melibatkan zon Tanjung Aru yang merangkumi kampung seperti Kg Tanjung Aru, Kg Lubukan, Kg Mumiang, Kg Abai dan Kg Tundun Bohangin.

Share This Article