SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH
11 MAC 2025
TAWAU: Seorang pemilik syarikat pembinaan yang disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah ,pada Selasa.
Menurut sumber,suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah cawangan Tawau.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021.
“Suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu yang tidak mengikut spesifikasi yang sebenarnya kepada sebuah agensi kerajaan negeri membabitkan kerja-kerja baik pulih empat buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di salah satu daerah negeri ini dengan anggaran kos kira-kira RM15,000 bagi setiap rumah,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Bagaimanapun tambah beliau, suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
